Saturday, 13 December 2008

Tragedy Mary Celeste



Pada 4 November 1872 sebuah kapal layar jenis square-rigged brigantine bernama Mary Celeste telah meninggalkan pelabuhan New York, Amerika Syarikat menuju ke Itali. Pada 4 Disember, ia ditemui hanyut tanpa hala tuju di tengah laut, tanpa seorang pun manusia di atasnya, oleh krew kapal Dei Gratia. Anehnya, tiada tanda-tanda bahawa pergelutan telah berlaku di atas Mary Celeste, jika hendak diandaikan kapal itu telah diserang lanun atau berlakunya rampasan kuasa (mutiny). Kelengkapan di atas kapal itu begitu kemas seolah-olah sekalian anak kapal sedang bersedia untuk memulakan satu hari baru pada suatu pagi.

Catatan terakhir dalam buku log Mary Celeste telah dibuat oleh Kapten Benjamin Spooner Briggs sepuluh hari sebelum Dei Gratia terserempak dengan kapal itu. Kapten Briggs hanya menyebut bahawa semasa dia menulis, cuaca kelihatan seperti akan ribut. Diandaikan Mary Celeste telah ditinggalkan akibat ribut, apakah sebabnya kesemua anak kapal meninggalkannya, sedangkan tidak kelihatan sebarang kerosakan pada struktur kapal? Dan kenapa pula barang-barang di atas kapal itu tidak berselerak sepertimana biasanya apabila sebuah kapal dilambung ombak besar? Bahkan ada sebotol ubat batuk yang telah dibuka tetapi tidak tumpah di atas kapal itu, manakala pinggan-mangkuk masih elok di tempatnya, tidak pecah. Di atas meja kapten terdapat tanda-tanda bahawa dia sedang bersedia untuk bersarapan. Kapten Briggs telah memecahkan bahagian atas sebutir telur separuh masak dengan eloknya, kemudian ia ditinggalkan begitu sahaja.

Ketika ditemui, Mary Celeste didapati telah berlayar tepat mengikut laluan yang sepatutnya ia ambil. Amat ganjil untuk kapal sedemikian kekal dalam laluannya selama sepuluh hari sejauh 500 batu memandangkan arus laut dan angin yang boleh mengalihkan hala tujunya pada bila-bila masa dan ke arah mana-mana sekalipun.

Mary Celeste telah ditunda ke Gibraltar dan kemudiannya diperlengkapi semula, tetapi ia telah bertukar tangan sebanyak 17 kali selepas ia ditemui kerana ia dianggap membawa nasib malang. Akhirnya, dalam tahun 1884 ia telah karam di perairan Haiti.

Apakah yang telah terjadi ke atas anak-anak kapal Mary Celeste yang berlepas di atas kapal tersebut dari New York pada 4 November 1872? Kenapakah langsung tiada pentunjung tentang apa yang telah berlaku di atas Mary Celeste hingga ia ditinggalkan sepenuhnya? Dan bagaimanakah ia dapat meneruskan perjalanan selama sepuluh hari tanpa anak kapal tepat mengikut laluan yang sepatutnya? Mungkinkah Mary Celeste telah memasuki perairan Segitiga Bermuda, lalu anak kapalnya lesap sepertimana banyak kes-kes lain yang berlaku di kawasan tersebut?

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...